3 CARA TERBAIK MENGAGIHKAN DAGING QURBAN
Adakah korang sudah mempunyai kemampuan untuk melakukan ibadah qurban untuk tahun ini? Tahniah, korang tergolong dari mereka yang menghidupkan syariat Nabi Ibrahim A.S! Namun begitu, terdapat beberapa perkara yang perlu diketahui apabila pertama kali berqurban, terutamanya tiga cara terbaik mengagihkan daging qurban dengan betul.
Cara mengagihkan daging qurban tertakluk kepada status qurban. Jika qurban itu adalah qurban wajib (yakni qurban nazar), tidak harus orang yang melakukan qurban dan juga keluarganya (yakni orang-orang yang berada di bawah tanggungan nafkahnya) untuk makan sedikitpun dari binatang yang diqurbannya. Wajib ia sedekahkan ke semuanya kepada fakir miskin. Kalau ia telah memakannya, wajib ia membayar ganti dengan harga daging yang dimakannya atau dengan daging seumpamanya. Tidak dituntut ia menyembelih lagi binatang qurban kerana ia telahpun melakukannya.
Jika qurban itu adalah qurban sunat, maka harus ia dan ahli keluarganya untuk makan sebanyak mana yang ia kehendaki dengan syarat sebahagian darinya hendaklah disedekahkan kepada fakir miskin. Mensedekahkan daging qurban kepada fakir atau miskin daripada kalangan muslimin adalah wajib sekalipun sedikit iaitu dengan kadar paling minima yang dapat dinamakan sedekah.Dan disyaratkan daging yang disedekahkan itu hendaklah dalam keadaan mentah dimana orang faqir dan miskin yang memperolehnya dapat menggunakannya mengikut kehendaknya sama ada menjualnya, memakannya atau sebagainya. Tidak memadai sekiranya disedekahkan dalam keadaan daging yang sudah dimasak atau pemilik qurban memasak daging qurban dan menjemput orang fakir atau miskin makan dirumahnya. Begitu juga tidak memadai sekiranya disedekahkan bahagian yang bukan daging seperti kulit, perut, limpa dan sebagainya.
Disunatkan pengagihan daging binatang qurban merangkumi tiga bahagian;
1.Satu bahagian untuk dimakan oleh dirinya dan ahli keluarganya
2.Satu bahagian disedekahkan kepada fakir dan miskin
3.Satu bahagian dijadikan sebagai hadiah kepada rakan-rakan, para jiran atau sebagainya sekalipun mereka kaya.
Pemberian sebagai hadiah tidaklah wajib. Oleh itu, harus pengagihan daging qurban berlegar antara dua sahaja iaitu untuk dimakan dan untuk disedekahkan. Lebih banyak bahagian yang disedekahkan adalah lebih afdhal (umpamanya separuh atau dipertiga (2/3) darinya). Paling afdhal ialah mensedekahkan ke semua daging qurban kepada fakir miskin kecuali sedikit darinya yang sunat diambil untuk dimakan bagi mendapat berkat dan beramal dengan sunnah Nabi SAW.
Terdapat hadis menceritakan;“Adalah Nabi SAW memakan dari hati binatang qurbannya.” (Riwayat Imam al-Baihaqi)Baginda juga bersabda;“Apabila seseorang kamu melakukan qurban, maka makanlah dari daging qurbannya.” (Riwayat Imam Ahmad dari Abu Hurairah r.a./al-Jami’ al-Saghir, no. 737)
Tidak harus orang yang melakukan qurban menjual apapun dari binatang qurban sama ada daging, kulit, tanduk, bulu, lemak atau sebagainya. Begitu juga, tidak harus menyewanya kerana sewaan termasuk dalam pengertian menjual (yakni menjual manfaat). Ketidakharusan menjual dan menyewa ini merangkumi qurban wajib dan juga qurban sunat.
Sabda Nabi SAW;“Sesiapa menjual kulit binatang qurbannya, maka tiada (pahala) qurban baginya”. (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi dari Abu Hurairah r.a.)
Namun jika ia telah memberi upah kepada tukang sembelih dengan wang darinya, kemudian setelah itu ia memberi pula daging qurban kepadanya atas dasar sedekah jika ia miskin (yakni bukan sebagai upah) atau memberinya sebagai hadiah (jika ia kaya), maka itu adalah harus.Harus bagi orang yang melakukan qurban mengambil manfaat dari kulit dan tanduk binatang qurbannya dengan segala bentuk manfaat seperti menjadikannya kasut, timba dan sebagainya sekiranya qurbannya itu adalah qurban sunat.
Walau bagaimanapun, jika ia mensedekahkannya kepada fakir miskin adalah lebih baik. Adapun qurban wajib, tidak harus orang yang melakukan qurban memanfaatkan kulit binatang qurbannya. Ia wajib disedekahkan kepada fakir miskin sebagaimana keadaan asal daging tersebut.