Boleh dibayangkan ketika ini tentunya Kota Mekah semakin padat dengan bakal-bakal haji kerana tidak lama lagi mereka bakal berhimpun di Padang Arafah bagi melakukan ibadah wukuf. Bulan Zulhijjah merupakan antara bulan yang paling istimewa bagi umat Islam. Terdapat banyak kelebihan padanya yang tidak dijumpai pada bulan lain.Salah satu daripadanya adalah Hari Arafah, iaitu yang disambut pada setiap 9 Zulhijjah setiap tahun.
Berikut adalah keistimewaan Hari Arafah yang patut kita tahu agar sama-sama dapat lebih menghayati serta sama-sama memanfaatkan tawaran yang telah dijanjikan Allah:-
1. SEBAHAGIAN DARIPADA RUKUN HAJI
Pentingnya Hari Arafah adalah ia merupakan sebahagian daripada Rukun Haji. Ibadah ini juga sangat signifikan dan adalah puncak berkumpulnya seluruh jutaan jemaah Haji dari segenap pelosok dunia.
Daripada Abdulrahman bin Ya’mur, bahawa Nabi SAW bersabda:
"الحَجُّ عَرَفَةُ"
Maksudnya: “Haji adalah Arafah”. [Riwayat al-Tirmizi (814)]
2. HARI KESEMPURNAAN AGAMA
Di Arafah inilah Rasulullah telah menyampaikan khutbah wada’ atau khutbah perpisahan. Ia digelar ‘perpisahan’ kerana tidak lama setelah menyampaikan khutbah tersebut, Baginda pun wafat.Pada ketika itu, telah turunnya surah al-Maa’idah ayat ke-3 sebagai pernyataan telah sempurna dan lengkapnya ajaran Islam yang disampaikan Allah SWT melalui Rasulullah SAW:
"اليَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا"
Maksudnya: “..Pada hari ini telah Ku-sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku dan telah Ku-ridhai Islam itu menjadi agama bagimu….” [Al-Maa’idah: Ayat 3]
3. HARI ARAFAH ADALAH HARI RAYA BUAT UMAT ISLAM
Daripada Uqbah bin Amir RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"يَوْمُ عَرَفَةَ، وَيَوْمُ النَّحْرِ، وَأَيَّامُ التَّشْرِيقِ عِيدُنَا أَهْلَ الْإِسْلَامِ، وَهِيَ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ"
Maksudnya: “Hari Arafah, hari Korban serta hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) adalah hari raya kita orang Islam dan ia adalah hari makan dan minum”. [Riwayat Abu Daud (20660), Tirmizi (704) dan al-Nasa’ie (2954)]
4. HARI ARAFAH ADALAH HARI PENYAKSIAN
Hari Arafah turut digelar sebagai hari penyaksian kerana pada hari tersebut, Allah mengambil perjanjian setia daripada zuriat Nabi Adam sebagaimana
sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,“Sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian setia di Arafah daripada zuriat yang berada dalam tulang belakang Nabi Adam, dan mengeluarkan zuriat itu dihadapannya seperti biji-bijian, kemudian Allah berkata kepada mereka dengan firmanNya, “Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka menjawab : Benar (Engkaulah Tuhan kami) kami menjadi saksi”, yang demikian itu supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak : “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.” [Riwayat Ahmad]
5. KEDAHSYATAN DOA PADA HARI ARAFAH
Arafah dikenali sebagai tempat berdoa paling mustajab dan di situlah Nabi Muhammad SAW mengambil masa yang sangat lama untuk berdoa. Menurut sumber, ada juga pendapat lain mengaitkan wukuf dengan wahyu yang diterima Nabi Ibrahim agar menyembelih anaknya, Nabi Ismail.
Daripada Abdullah bin ‘Amr, bahawa Nabi SAW bersabda:
"خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ"
Maksudnya: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah”. [Riwayat al-Tirmizi (3509)]
6. GANJARAN PUASA ARAFAH
Berpuasa pada Hari Arafah adalah sunat bagi mereka yang tidak mengerjakan Haji. Ia adalah peluang keemasan bagi membersihkan diri daripada dosa yang telah dilakukan kerana ganjaran puasa pada hari tersebut menghapuskan dosa setahun sebelum dan selepas.
Daripada Abi Qatadah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda apabila ditanya tentang puasa pada hari Arafah:
"يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ"
Maksudnya: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang”. [Riwayat Muslim (1977)]
7. HARI KEAMPUNAN
Ambillah peluang untuk bertaubat dan memohon ampun sebanyak-banyaknya kerana Hari Arafah adalah hari pelepasan dari api neraka. Pada hari ini, keampunan dari Allah terbuka luas.
Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
"مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ، مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ"
Maksudnya: “Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada hari Arafah”. [Riwayat Muslim (2402)]
Selain itu, ibadah wukuf di padang Arafah simbolik dengan peristiwa di mana Nabi Adam dan Hawa telah diturunkan ke bumi dari syurga setelah terpedaya dengan tipu daya Iblis. Mereka memohon ampun daripada Allah selama bertahun-tahun dan akhirnya berjumpa semula di Jabar Rahmah selepas 40 tahun terpisah.
8. REBUTLAH PELUANG MEMPERBANYAKKAN IBADAH
Wah, memang begitu banyak kelebihan Hari Arafah yang disambut setiap 9 Zulhijjah ini, iaitu sehari sebelum Hari Raya Aidil Adha.Jadi, setkan dalam reminder handphone korang dan rebutlah kesempatan ini agar kita tak terlepas untuk memperbanyakkan amalan pada hari tersebut.Mudah-mudahan Allah memberi kita kekuatan dan kemudahan agar dapat melaksanakan amalan dengan tekun dan istiqamah.