Pengertian Tabarruj Imam Ibnu Mandzur menyatakan;-
Tabarruj adalah menampakkan perhiasan dan anggota tubuh untuk menarik perhatian lelaki bukan mahram. Secara ringkasnya, tabarruj bermaksud berhias secara berlebihan untuk menarik perhatian.Larangan tabarruj telah ditetapkan Allah swt di dalam surah al-Nuur.
Allah swt berfirman:“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung kedadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka” [An-Nur (24): 31]
Perbuatan yang termasuk Kategori Tabarruj:-
1) Mengenakan Pakaian Tipis dan Ketat
Wanita yang mengenakan pakaian nipis, atau memakai paakian yang ketat dan merangsang termasuk dalam kategori tabarruj.
2) Mengenakan Wangian Di Hadapan Lelaki yang bukan Mahram
Nabi saw bersabda,“Siapapun wanita yang memakai wangian kemudian melewati suatu kaum agar mereka mencium baunya, bererti ia telah berzina.” [HR. Imam al-Nasae'i]
3) Berhias Dihadapan Lelaki Asing (bukan mahram atau suaminya)
Seorang wanita diharamkan berhias untuk selain suaminya.Ini kerana, tindakan seperti ini termasuk dalam kategori tabarruj.
Dalam sebuah hadits diriwayatkan, bahawa Nabi saw bersabda;“Seorang wanita dilarang berhias untuk selain suaminya.” [HR. Imam Ahmad, Abu Daud, dan al-Nasae'i]
4) Berdandan Berlebihan Termasuk tabarruj
Maksudnya adalah berdandan atau bersolek tidak seperti biasanya. Misalnya, memakai bedak dengan tebal, ‘eye shadow’, ‘lipstick’ dengan warna menjolok mata dan sebagainya. Tindakan-tindakan seperti ini termasuk dalam kategori tabarruj secara definitif. Imam Bukhari menyatakan, bahawa tabarruj adalah tindakan seorang wanita yang menampakkan kecantikannya kepada orang lain.Larangan tersebut juga telah disebutkan dalam al-Quran.
Allah swt berfirman;“Janganlah mereka menghentakkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.” [Al-Nuur: 31]
5) Membuka Sebahagian Aurat Wanita
Sebagai contohnya yang mengenakan topi kepala tanpa bertudung; mengenakan seluar hingga menampakkan bentuk kaki, memakai tudung tetapi rantai dan anting-antingnya kelihatan, dan sebagainya, termasuk dalam tabarruj.
Tabarruj adalah perbuatan haram dan berbahaya bagi kehidupan kaum muslim. Sudah seharusnya setiap muslimah memahami makna tabarruj ini, sehingga mereka dapat memmerhatikan pakaian, perhiasan, "perfume", gaya berjalan (lenggok tubuh), aksesori yang mereka gunakan pada pakaian mereka agar tidak menarik dan mengundang pandangan lelaki bukan mahram kepada dirinya. Kerana jika hal tersebut berlaku, maka perbuatan tersebut termasuk tabarruj.
Wallahu’alam