KERUGIAN SEORANG MUSLIM SEMASA BULAN RAMADAN

KERUGIAN SEORANG MUSLIM SEMASA BULAN RAMADAN

Bulan Ramadan merupakan bulan untuk kita mempertingkatkan amal ibadah. Bulan yang dijanjikan dengan pelbagai ganjaran bagi mereka yang sentiasa mencarinya. Ia boleh diibaratkan seperti sebuah pasar raya yang menyediakan potongan harga dan promosi yang hebat untuk dinikmati oleh semua pelanggan yang hadir. Maka akan datanglah manusia berpusu-pusu dari segenap tempat untuk mendapatkannya.

Antara ganjaran yang Allah janjikan di dalam bulan Ramadan ialah keampunan, kerahmatan, dibuka pintu-pintu syurga, dimakbulkan doa dan terdapat satu malam yang mana amalan pada malam itu akan dilipat gandakan seperti ibadah selama 1,000 bulan. Amat rugilah mereka yang berpeluang bertemu dengan Ramadan, tetapi tidak memperolehi keampunan Allah.

Antara kerugian seorang muslim di bulan Ramadan ialah:

1.Meminta keampunan Allah

Waktu sahur merupakan salah satu waktu yang sangat penting bagi orang yang mahu berpuasa. Ini kerana pada waktu itu jika seseorang bersahur maka akan mendapat keberkatan dan memberikan tenaga untuk berpuasa.Selain daripada itu, orang yang bangkit sahur dan meminta keampunan Allah maka akan diampuni dosa mereka.

Firman Allah di dalam Surah Al-Imran ayat 17: (Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur

.2. Meminta doa kepada Allah

Waktu yang paling sesuai untuk kita memperbanyakkan doa adalah ketika hendak berbuka puasa tetapi ramai dalam kalangan kita yang terkadang menghabiskan masa di hadapan televisyen, melayari laman social ataupun tengah sibuk lagi nak masak untuk berbuka.

Sabda Rasulullah: Sungguh orang yang berpuasa mempunyai doa yang dikabulkan dan tidak akan ditolak tatkala berbuka puasa. - [HR Ibn Majah 1743]

3. Tidur yang lama pada waktu siang

Tidur tidaklah membatalkan puasa tetapi kata para alim ulama bahawa orang yang menghabiskan waktu siang dengan tidur merupakan orang yang rugi.Rugilah mereka yang tidur sehingga tidak melakukan ibadah solat, puasa mereka hanyalah lapar dan dahaga ibarat mengisi air ke dalam baldi yang mana baldinya bocor. Melainkan mereka terlalu letih dan perlukan rehat maka tidak salah untuk mereka tidur di siang hari namun jangan tidur terlalu lama.

Sabda Rasulullah: Berapa banyak orang yang berpuasa tidak mendapatkan pahala puasanya selain lapar dahaga dan berapa banyak orang yang solat malam tidak mendapatkan pahala solat malamnya selain hanya sekadar bangun malam.

4. Tidak membaca Al-Quran

Bulan Ramadan merupakan bulan diturunkan Al-Quran yang menjadi panduan kehidupan. Para alim ulama sentiasa membaca Al-Quran dan apabila sampai di bulan Ramadan mereka akan melipat gandakan bacaan tersebut. Diceritakan bahawa Imam Syafie mengkhatamkan Al-Quran sebanyak dua kali pada setiap hari di bulan Ramadan.

Firman Allah di dalam Surah Faatir ayat 29: Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah (Al-Quran) dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian.

5.Tidak bersedekah

Mereka yang kedekut dengan harta yang dianugerahkan oleh Allah dan tidak menafkahkannya ke jalan Allah dengan memberi makan kepada orang yang lapar. Bulan Ramadan mendidik jiwa kita ke arah belas kasihan kepada golongan fakir miskin yang mana kebanyakan mereka menahan lapar kerana tidak mempunyai makanan.

Sabda Rasulullah: Rasulullah adalah orang yang paling pemurah berbuat kebajikan, terutama di bulan Ramadhan. - [HR Muslim 4268].

Back to blog