TIGA AMALAN YANG RASULULLAH SAW LAKUKAN PADA 10 MALAM TERAKHIR

TIGA AMALAN YANG RASULULLAH SAW LAKUKAN PADA 10 MALAM TERAKHIR

Diriwayatkan daripada Ummul Mukminin A’isyah R.anha beliau berkata:

"كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مَا لاَ يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ"

Maksudnya: Adalah Rasulullah S.A.W itu bersungguh-sungguh (dalam beribadah) pada sepuluh yang terakhir (dari bulan Ramadhan) melebihi ibadah baginda pada hari-hari yang lain. Riwayat Muslim (1175)

Di antara amalan yang baginda lakukan adalah sebagaimana yang diriwayatkan juga oleh A’isyah R.anha:

"كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْيَا لَيْلَه وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ"

Maksudnya: Adalah Nabi S.A.W apabila masuknya sepuluh hari terakhir (bulan Ramadhan) baginda akan mengetatkan ikatan di pinggangnya, baginda menghidupkan malam harinya, dan baginda membangunkan ahli keluarganya (untuk beribadah).‏  Riwayat al-Bukhari (2024)

Tiga ibadah dalam hadis di atas yang baginda Rasulullah S.A.W lakukan pada sepuluh malam terakhir adalah seperti berikut:

1) Mengetatkan ikatan di pinggang baginda.Imam al-Hafiz Ibn Rajab Rahimahullah mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan perbuatan tersebut ada dua pendapat. Pertamanya ia membawa erti baginda bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah. Maksud yang kedua pula adalah Nabi S.A.W meninggalkan perbuatan bersama dengan isteri pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan.Ibn Rajab mengatakan pendapat yang paling sahih akan maknanya adalah baginda mengasingkan dirinya dari isteri-isteri baginda. Lihat Lathaif al-Ma’arif, Ibn Rajab (Hlm. 332).

2) Menghidupkan malam.

Yang dimaksudkan dengan menghidupkan malam ini ada dua kemungkinan: - Menghidupkan keseluruhan malam dengan ibadah.Menghidupkan majoriti atau kebanyakan malam dengan ibadah.Ini kerana, menghidupkan separuh malam juga telah dianggap sebagai menghidupkan malam sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Ibn Rajab al-Hanbali. Lihat Lathaif al-Ma’arif, Ibn Rajab (Hlm. 329).Sebahagian fuqaha dari kalangan Syafi’eyyah berkata: (Ganjaran) menghidupkan malam itu dapat diperoleh dengan seseorang itu melakukan solat isyak secara berjamaah dan dia berazam untuk melakukan solat Subuh secara berjamaah.Begitu juga kata Imam al-Syafie Rahimahullah: Sesiapa yang menghadiri solat isyak dan solat subuh (secara berjamaah) pada lailatul qadr maka dia telah mendapatkan ganjaran darinya (beribadah pada malam al-qadr). Rujuk Lathaif al-Ma’arif, Ibn Rajab (Hlm. 329).

3) Membangunkan kaum keluarga untuk beribadah.Ketika masuknya sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, baginda S.A.W mengejutkan isteri-isteri dan keluarga untuk bangun beribadah. Bahkan ada riwayat yang menunjukkan bahawa baginda mengetuk pintu Fathimah R.anha dan Ali bin Abi Thalib R.anhu lalu berkata:

"أَلَا تَقُومَان فَتُصَلِّيَان"

Maksudnya: Apakah kamu berdua tidak bangun lalu menunaikan solat? Riwayat al-Bukhari (1127)

Kelebihan Beribadah Pada Lailatul Qadr

1. Waktu Diturunkan Al-Quran

Lailatul Qadar menunjukkan keistimewaan kerana pada malam inilah Allah سبحانه وتعالى menurunkan kitab suci utama iaitu Al-Quranul Karim.Ibnu ‘Abbas dan selainnya mengatakan, “Allah menurunkan Al-Quran secara keseluruhan sekaligus dari Lauhul Mahfuzh ke Baitul’ Izzah yang ada di langit dunia.

Kemudian Allah menurunkan Al-Quran kepada Rasulullah ﷺ tersebut secara beransur-ansur sesuai dengan peristiwa dan kejadian yang berlaku sepanjang 23 tahun.”

2. Lebih Baik Dari 1000 Bulan

Keutamaan Lailatul Qadar sungguh luar biasa kerana malam ini lebih baik dari 1000 bulan dan bersamaan dengan 83 tahun.

Allah سبحانه وتعالى berfirman;

"لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ"

Malam Lailatul-Qadar (Malam Kemuliaan) itu lebih baik dari seribu bulan.”(Surah Al-Qadar; Ayat 3)

An Nakha’I dalam ‘Latha-if Al Ma’arif’ menyatakan, “Amalan di lailatul qadar lebih baik dari amalan di 1000 bulan.” Mujahid, Qotadah dan ulama lainnya berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan lebih baik dari seribu bulan adalah solat dan amalan pada lailatul qadar lebih baik dari solat dan puasa di 1000 bulan yang tidak terdapat lailatul qadar. (Zaadul Masiir).

Back to blog