KHASIAT 10 JENIS ULAM ULAMAN

KHASIAT 10 JENIS ULAM ULAMAN

Bagi orang-orang lama, makan ulam itu satu kebiasaan. Cuba tanya kepada datuk dan nenek kita, mereka pasti biasa memakan ulam. Malah, ulam-ulaman sering dijadikan sebagai pelengkap sajian harian. Tubuh akan kekal sihat dan kurang penyakit jika kerap makan ulam.Menurut pakar pemakanan, sayuran berdaun hijau diperkaya dengan provitamin A dan dapat membantu mengurangkan masalah rabun malam.Ia juga dapat mengurangkan risiko menghidap penyakit seperti barah dan sekaligus dapat membantu meningkatkan sistem imun dalam badan agar tubuh tidak mudah dijangkiti penyakit.

DAUN KESUM

Daun kesum juga digelar daun cenohom atau dikenali sebagai rau rau di Vietnam.Daun kesum boleh digunakan sebagai ramuan ulam atau bahan sampingan untuk sajian seperti laksa dan bahan dalam kuah asam pedas. Diperkaya dengan bahan beta karotena, ia dikatakan dapat menghilangkan masalah rambut seperti kelemumur dan masalah penghadaman.

KACANG BOTOL

Pernahkah anda makan kacang botol, yang juga dikenali sebagai kacang botor atau kacang sirek?Kacang botol merupakan antara sayuran yang baik untuk berdiet. Ada yang suka hiris dan masak sambal. Ada juga yang gemar ratah begitu sahaja dengan mencicah sambal pilihan. Tidak hairanlah jika kacang botol ini sering dijadikan sebagai salah satu pilihan untuk dijadikan ulam.Menurut kajian, kacang botol dapat mengurangkan sakit kepala atau migrain. Selain itu ia juga dapat mengatasi masalah sukar tidur atau tekak yang loya dan mengawal paras gula dalam darah serta membantu untuk tingkatkan lagi imuniti seseorangDiperkaya dengan vitamin A dan C, kacang botol dapat mengelak daripada jangkitan penyakit.Yang paling menarik, ia juga mengandungi bahan antioksidan yang tinggi dan membantu menghindari sel daripada radikal bebas.Ia sesuai untuk dinikmati semua peringkat usia dan baik untuk kuatkan sistem imun anak-anak.

ULAM RAJA

Digemari ramai dan seperti ulam-ulaman lain, ia mempunyai pelbagai manfaat untuk tubuh.Antaranya ia dapat melancarkan peredaran darah selain mampu menguatkan tulang serta menyingkirkan toksik dalam badan.Tambahan lagi, ia dapat menyegarkan tubuh dan mengatasi bau mulut serta masalah osteoporosis. Mengamalkan pengambilan ulam raja juga dapat menghaluskan kulit selain mengatasi masalah alahan.

PETAI

Yang ini, popular! Ada yang suka dan ada juga akan tutup hidung apabila mendekatinya!Baunya yang unik dan β€˜kuat’ menyebabkan sebahagian orang 'lari' daripada menikmatinya kerana ia menimbulkan bau mulut selepas dimakan. Tetapi, petai ada banyak khasiat untuk kesihatan.Petai mempunyai sumber antikoksidan yang baik yang dapat menyangkal radikal bebas. Lantas, ia dapat membantu mencegah kencing manis, barah, mengawal kadar gula dalam darah, menangani bakteria, memberi kesihatan pada jantung, menurunkan tekanan darah selain memberi kesan menenangkan.Ternyata petai mengandungi banyak manfaat. Namun, elakkan daripada menjadi ketagih atau makan keterlaluan kerana ia juga boleh meningkatkan risiko gangguan ginjal. Makan berpada-pada dan sajikan dengan sayuran yang lain sebagai sampingan.

CEKUR

Sekali padang ia seperti halia. Tapi, cekur atau ada yang menggelarkannya sebagai kencur merupakan sejenis herba.Daunnya boleh dibuat ulam, urap, kerabu dan pecal. Keseluruhan bahagian daun, batang, isi dan akar cekur semuanya boleh digunakan.Daun cekur beraroma dan warnanya hijau. Seperti sayuran lain, cekur juga diperkaya dengan protein, serat, mineral, vitamin selain minyak pati yang diperkaya dengan sifat antioksidan, antiradang dan bakteria.

PEGAGA

Kalau nak tahu, tumbuhan ini kerap dikaitkan dengan rahsia awet muda atau penampilan keremajaan.Selain itu, ia juga dilabel sebagai makanan otak yang dapat meningkatkan kecerdasan.Ulam ini sangat berkesan dalam peningkatan fungsi mental dan dapat meningkatkan tumpuan minda.Selain itu, amalan menikmati pegaga juga dikatakan dapat membantu masalah tidur selain merawat tekanan darah tinggi.

DAUN KADUK

Rupanya mirip daun sireh. Tapi, tumbuhan ini tidak tumbuh memanjat dan sebaliknya tumbuh di permukaan tanah.Bagi yang gemarkan sajian Thailand, anda mungkin kenal daun kaduk ini. Rasanya sedikit pahit, tetapi ia dipercayai mempunyai manfaat untuk menurunkan kadar kolesterol, mengatasi masalah sembelit, sakit tulang belakang dan sakit gigi, antara lain.

JERING

Selain petai, ulam lain dengan bau yang kuat ialah jering. Ia kurang mendapat sambutan kerana baunya yang tidak begitu menyenangkan dan boleh dikatakan baunya lebih kuat jika dibandingkan dengan petai.Untuk menikmatinya ia boleh direbus dan dimakan dengan sambal belacan, jering masak lemak atau sambal jering ikan bilis.Buah jering mempunyai sumber galian seperti lemak, karbohidrat, Vitamin A, B dan C antaranya selain sejenis sebatian yang boleh memberi rangsangan untuk membuang air besar.Namun, jering juga mengandungi bahan toksik yang dikenali sebagai asid jenkolik.Elakkan daripada makan keterlaluan kerana ia boleh membawa mudarat pada kesihatan anda.

DAUN KUNYIT

Kalau nak tahu, pokok kunyit merupakan tumbuhan herba serbaguna. Setiap bahagian tumbuhan ini mempunyai manfaat dan khasiat.Daunnya sahaja dapat membangkitkan aroma wangi dan sering dijadikan bahan pelbagai masakan. Menikmati daun ini dalam masakan juga dapat membantu memperbaiki sistem dalaman tubuh untuk nyahkan toksik.

BUNGA TELANG

Ini bahan yang mesti ada dan tidak asing lagi dalam hidangan nasi kerabu. Tanpa bunga telang, maka tidak lengkaplah sajian ini. Kalau nak tahu, bunga telang amat popular dalam perubatan tradisional India. Ia dijadikan tonik otak dan dipercayai dapat memperbaiki memori.Bunga telang juga boleh dimakan mentah sebagai ulam.

Menurut kajian, bunga ini boleh merawat gigitan serangga dan penyakit kulit. Selain itu, ia juga boleh menyembuhkan keradangan dan masalah gatal kulit.Apa pun ulam yang menjadi pilihan anda, pastikan untuk menikmatinya secara sederhana. Jangan terlampau β€˜over’ gara-gara nak jadi sihat atau tampil lebih muda dari usia!Makan secara seimbang dan jangan lupa juga untuk meminum air yang mencukupi di samping mengamalkan pemakanan dan gaya hidup yang sihat!Β Β 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk

Back to blog