PENGERTIAN & MAKSUD SEDEKAH DALAM ISLAM

PENGERTIAN & MAKSUD SEDEKAH DALAM ISLAM

Islam sentiasa menerapkan nilai-nilai murni dalam hidup setiap insan. Islam sentiasa mengajar kita untuk berbuat baik dengan semua orang terutama saudara sesama islam. Tidak sempurna iman seorang muslim itu jika dia tidak menyayangi saudaranya seperti dia menyayangi dirinya sendiri.

Antara sifat mulia atau nilai murni seorang islam kepada saudaranya yang lain adalah saling membantu antara satu sama lain. Dengan erti kata lain, jika kita lihat ada saudara kita yang ditimpa musibah atau dalam kesusahan, wajib untuk kita membantu mereka.Namun, adakah kita benar benar faham maksud sedekah ini? Apakah yang dimaksudkan dalam islam sebagai sedekah? adakah sedekah dan wakaf benda yang sama? atau adakah zakat itu pun di kira sedekah? Mari, kita sama sama kupas apa sebenarnya maksud sedekah. 

1)  Konsep Sedekah

Sedekah dalam islam sangat luas dan bukan tertumpu dalam bentuk wang ringgit sahaja. Konsep sedekah meliputi apa apa pemberian atau amal kebaikan dari segi rohani atau fizikal. Bahkan senyuman itu pun di kira sebagai sedekah. Jadi janganlah kita membataskan pemikiran kita berkaitan sedekah ini hanya kepada duit semata mata.Apa Maksud Sedekah ?Sedekah boleh di kupas atau di terangkan mengikut 4 aspek iaitu dari segi bahasa, Al-Quran, Al Sunnah dan juga mengikut pendapat para ulama.

Maksud Sedekah Mengikut Bahasa Perkataan sedekah berasal daripada kata kerja صدق. iaitu ia membawa kepada 4 maksud :

  • Benar
  • Lurus
  • Orang yang memiliki sifat-sifat terpuji yang sempurna
  • Perkara yang diberikan kepada orang fakir kerana Allah

Jadi dapat disimpulkan bahawa sedekah merujuk kepada pemberian seseorang kepada seseorang lain yang dalam kesusahan (fakir) dengan ikhlas tanpa mengharapkan apa apa balasan dari mereka yang menerima sedekah tersebut.

Maksud Sedekah Mengikut Al-Quran.Di dalam Al-Quran, perkataan sedekah ada digunakan dalam beberapa ayat: 

خُذْ مِنْ اَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيْهِمْ بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْۗ اِنَّ صَلٰوتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْۗ وَاللّٰهُ سَمِيْعٌ عَلِيْمٌ

Ambillah sebahagian  dari harta mereka guna sebagai sedekah (zakat) supaya dengannya, Engkau membersihkan dan menyucikan mereka, dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doamu itu (menumbuhkan) ketenteraman jiwa bagi mereka. Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui.(Surah At-Taubah :103)

Dalam ayat di atas, disebutkan perkataan sedekah memberi erti zakat. Di dalam tafsir kitab Al Qurtubi menyebutkan dalam ayat tersebut membawa maksud zakat itu wajib bagi golongan yang berkemampuan 

اِنَّمَا الصَّدَقٰتُ لِلْفُقَرَاۤءِ وَالْمَسٰكِيْنِ وَالْعَامِلِيْنَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوْبُهُمْ وَفِى الرِّقَابِ وَالْغَارِمِيْنَ وَفِيْ سَبِيْلِ اللّٰهِ وَابْنِ السَّبِيْلِۗ فَرِيْضَةً مِّنَ اللّٰهِ ۗوَاللّٰهُ عَلِيْمٌ حَكِيْمٌ

Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang miskin, amil zakat, yang dilunakkan hatinya (mualaf), untuk (memerdekakan) hamba sahaya, untuk (membebaskan) orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai kewajiban dari Allah. Allah Maha Mengetahui, Maha Bijaksana.(Surah At-Taubah :60)

Al-Qurtubi juga menjelaskan maksud sedekah dalam ayat ini sebagai sedekah wajib iaitu zakat.

 فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَّرِيْضًا اَوْ بِهٖٓ اَذًى مِّنْ رَّأْسِهٖ فَفِدْيَةٌ مِّنْ صِيَامٍ اَوْ صَدَقَةٍ اَوْ نُسُكٍ ۚ فَاِذَآ اَمِنْتُمْ

Jika ada di antara kamu yang sakit atau ada gangguan di kepalanya (lalu dia bercukur), maka dia wajib berfidyah, yaitu berpuasa, bersedekah atau berkorban. (Surah Al-Baqarah : 196)

Dalam ayat tersebut, Al Qurtubi menjelaskan bahawa perkataan sedekah bermaksud memberi makan seperti gandum, tamar, syaair (barli) atau zabib (kismis) kepada fakir miskinBerdasarkan ayat ayat Al-Quran  yang telah di berikan, dapat disimpulkan bahawa sedekah dalam Al-Quran memberi pelbagai jenis tafsiran atau maksud seperti, sedekah wajib (zakat), pemberian kepada fakir miskin, pelupusan hutang, mengembalikan hak kepada empunya, memeberi makan, dan keampunan. 

 Maksud Sedekah Mengikut Al- SunnahDari Jabir bin Abdullah radliallahu ‘anhuma dari Nabi SAW baginda bersabda: “Setiap perbuatan baik adalah sedekah.”(Hadith Riwayat Ibn Hibban)

Daripada Abu Hurairah r.a daripada Nabi S.A.W : kamu membuang sesuatu yang bahaya dari tempat lau lalang adalah sedekah (Hadith Riwayat Bukhari)

Daripada beberapa hadith yang ditunjukkan, sedekah dalam Al Sunnah memberi maksud yang pelbagai antaranya ialah membuat perkara yang baik dan disukai Allah adalah salah satu bentuk sedekah. Setiap amal baik yang dilakukan manusia bukan sahaja dijanjikan pahala disisi Allah bahkan ia dikira sebagai sedekah. Selain itu, dalam hadith yang kedua, disebutkan jika membuang sesuatu yang berbahaya di atas jalan akan dikira juga sebagai sedekah. Maksud Sedekah Mengikut Istilah Ulama

Antara pendapat ulama berkaitan dengan sedekah dapat dilihat menerusi pendekatan yang diberikan oleh ibn hajar. Beliau ada menegaskan bahawa “Sesungguhnya perkataan sedekah digunakan kepada zakat” . Namun ada juga yang tidak bersetuju dengan pandangan beliau. Disini kita dapat lihat perkataan “sedekah” boleh digunakan secara timbal balik dengan perkataan “zakat”. Manakala untuk zakat pula Nukhbah Binti al-Karamah menegaskan bahawa, zakat bermaksud kesuburan dan kebersihan dari segi bahasa dan ia dipakai pada erti sedekah wajib, sedekah sunat, nafkah dan keampunan. 

Dari kata-kata Nukhbah, perkataan zakat walaupun diguna secara bergilir-gilir dengan sedekah, tapi pengertian sedekah lebih umum, kerana sedekah yang mencukupi adalah sedekah wajib, sedekah sunat, nafkah dan keampunan.Jadi, di sini dapat disimpulkan bahawa perkataan sedekah menurut para ulama membawa maksud pemberian yang bertujuan untuk mendapat ganjaran pahala akhirat samaada dalam bentuk wajib atau sunat.  

Beza Sedekah, Infaq dan Wakaf.Ramai antara kita yang masih lagi keliru dan tidak pasti apakah yang membezakan antara sedekah, infaq dan juga wakaf. Adakah ketiga-tiga istilah ini merujuk kepada perkara yang sama? atau setiap daripada mereka mempunyai pengertian yang berbeza?Jika dilihat, diawal perbincangan kita dalam artikel ini, kita telah mengupas maksud sedekah dari segi bahasa, Al-Quran, Al Sunnah dan juga istilah ulama. Secara amnya sedekah membawa maksud pemberian atau amal kebaikan yang diberikan dalam bentuk rohani atau fizikal.Infaq pula membawa maksud membelanjakan harta kepada yang berhajat(Al-Jurjani ).

Dalam Surah al-Baqarah (2:3), Allah SWT berfirman:

الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ

Maksudnya: (Orang yang beriman itu adalah) orang-orang yang beriman dengan perkara yang ghaib, menunaikan solat dan mereka memberi infaq apa yang kami rezekikan kepada mereka.Perkataan ‘ينفقون’ dalam ayat ini, menurut pilihan Imam al-Tabari, merujuk kepada pensyariatan zakat dan pemberian nafkah kepada ahli keluarga yang ditanggung. (Rujuk Jami’ al-Bayan 1/244). Jadi, dapat disimpulkan bahawa maksud infaq dan sedekah itu adalah sama atau sinonim.

Wakaf pula dari sudut bahasa membawa maksud menahan sesuatu. Dari sudut istilah, ianya membawa maksud menahan harta yang boleh diambil darinya manfaat beserta mengekalkan ‘ain harta tersebut. Ianya menghilangkan pemilikan dan pengurusan harta tersebut dari pewakaf dan harta tersebut akan digunakan pada jalan yang dibenarkan ataupun keuntungan darinya (harta wakaf tersebut) digunakan untuk jalan kebaikan. Lihat Mughni al-Muhtaj, (2/376). Pahala orang yang berwakaf ini akan berkekalan selagi mana harta wakaf itu masih wujud walaupun selepas kematian pewakaf. Wakaf juga disebut sebagai sedekah jariah. 

Kredit: Perkim Datuk Keramat

Back to blog